Teladan dari Kisah
Di dalam Al Quran, banyak kisah-kisah buruk tentang Bani Israil dibentangkan oleh Allah untuk dijadikan teladan buat umat Islam. Di antara sifat-sifat buruk Israel ialah degil, keras hati dan tidak mahu menerima kebenaran.
 Mereka juga mempunyai peribadi yang tercela seperti lemah Iman, mudah terpedaya, cerewet, suka berdolak dalih, banyak soal jawab dan lemah semangat seperti yang diceritakan oleh Allah dalam surah Al Baqarah.
 Dan, di antara banyak-banyak kisah Bani Israel, terdapat satu kisah yang menarik yang terjadi pada zaman Nabi Musa A.S.  Pada masa tersebut, Allah telah mengenakan larangan supaya jangan turun ke laut menangkap ikan pada hari Sabtu. Hari Sabtu merupakan hari besar bagi orang Yahudi (Bani Israel) sebagaimana besarnya hari Jumaat kepada orang Islam dan hari Ahad kepada orang Kristian. Hikmah larangan tersebut ialah untuk menghormati hari besar mereka.
 Orang-orang Israel taat dengan perintah dan larangan Allah itu. Mereka takut akan ditimpakan azab yang dahsyat jika mereka engkar. Tetapi Allah yang Maha Bijaksana ingin menguji sajauh mana keimanan dan ketaatan mereka padaNya.
 Oleh itu Allah telah menjadikan banyak ikan pada hari Sabtu dengan jenis dan rupa tetapi tidak pada hari-hari lain. Orang-orang Israel merasa seronok melihat ikan-ikan itu kerana itu merupakan sumber makanan dan pendapatan mereka. Tetapi apakan daya, Allah telah melarang mereka turun ke laut pada hari Sabtu Dan pada masa ini mereka masih mampu untuk mempertahankan ketaatan mereka kepada Allah.
 Keadaan itu menyebabkan orang Israel turun ke pantai beramai-ramai untuk menyaksikan aksi ikan-ikan tersebut sehinggakan seolah-olah satu keramaian diadakan di tepi pantai.  Keinginan mereka untuk menagkap ikan-ikan itu melonjak-lonjak dalam hati mereka. Walau bagaimana pun mereka hanya mampu menonton sahaja. Mereka terpaksa memendam keinginan dan perasaan geram mereka.  Dalam keseronokan mereka bertemasya itu, sekonyong-konyong datanglah seekor iblis laknatullah dengan menjelmakan dirinya sebagai seorang lelaki. Dia menyusup masuk melalui celah-celah orang ramai dan berpura-pura tidak tahu apakah yang berlaku. Lalu dia pura-pura bertanya, “Apakah yang sedang terjadi, mengapa kamu semua berkumpul beramai-ramai di sini?”
 Lalu mereka menceritakan kisah sebenarnya. Mendengar jawapan yang sedia diketahuinya, Iblis bertanya lagi, “Mengapa kamu tidak menangkap saja ikan-ikan itu?”
 Bani Israel menjawab, “Allah melarang kami menagkap ikan pada hari Sabtu dan kami tidak akan melanggar larangan Allah.” Iblis mengangguk berpura-pura faham.
 Lantas ia menusukkan jarumnya, “Kalau begitu, kamu masih ada peluang untuk menangkap ikan-ikan itu dan terlepas dari larangan Allah. Begini caranya, kamu galilah parit dari kawasan pantai hingga ke darat, tentu ikan-ikan itu akan berenang ke dalam parit itu. Kemudian buatlah satu sekatan untuk mengelakkan ikan-ikan itu daripada keluar ke laut dan tangkaplah pada keesokannya.”
 Tanpa berfikir panjang mereka terus menerima cadangan itu dan melakukan apa yang dicadangkan oleh iblis tadi. Nabi Musa A.S. melarang sekeras-kerasnya perbuatan kaumnya itu kerana seolah-olah mahu menipu Allah. Akan tetapi Bani Israel yang mempunyai sekeras batu itu tidak menghirau langsung larangan nabi mereka. Akibatnya, Allah terus menukarkan mereka menjadi beruk dan kera yang hina di atas kedegilan mereka untuk menunjukkan kekuasaanNya.
 Firman Allah dalam surah Al Baqarah:
 “Sesungguhnya kamu telah mengetahui bagaimana balasan Tuhan ke atas orang-orang yang melanggar perintahNya pada hari Sabtu, lantas Kami katakan kepada mereka, jadilah mereka kera yang hina.”
Al Baqarah:65
 Begitulah Bani Israel. Walau bagaimana baik pun mereka, mereka tetap kaum yang dilaknat oleh Allah. Dan usaha mereka untuk menghancurkan Islam tidak akan padam buat selama-lamanya. Mereka akan merasa benci apabila melihat umat Islam saling berkasih sayang tetapi akan bersorak kegembiraan apabila melihat umat Islam saling bertelagah.