Setiap
manusia rindukan keamanan, kebahagiaan dan ketenangan. Ini adalah fitrah
kemanusiaan yang dianugerahkan oleh Allah kepada setiap jiwa insan. Malang
sekali, suasana hari ini seolah-olah menafikan hakikat itu.
Hari ini, dunia banyak memperlihatkan
peperangan, rusuhan, tunjuk perasaan, penindasan dan penzaliman.
Itulah realitinya bilamana hati manusia tandus daripada benih kasih sayang.
Islam sebagai agama yang selamat lagi menyelamatkan datang membawa angin
perubahan bersama hujan kasih sayang. Sebagai satu cara hidup yang harmoni,
Islam amat mengutamakan kasih sayang kerana ia adalah kunci perpaduan dan
keamanan sejagat.
Kasih sayang dalam diri manusia akan wujud
apabila Islam diamalkan dan pada kala Iman ditanamkan. Iman menentukan
sejauh mana kasih antara mukmin dan sekukuh mana sayang sesama insan.
Iman adalah benih yang ditanam, kasih sayang adalah buah, hasil penjagaan
benih dengan rapi.
Buah yang baik muncul dari benih yang baik.
Pohon tidak akan berbuah tanpa benih. Kalau pun ada buahnya itu adalah
buah plastik yang nampak cantik tapi tidak boleh dimakan. Begitulah
tamsilan mudah mengenai kasih sayang. Kasih sayang sejati adalah daripada
iman. Kasih sayang yang dibuat-buat tidak mampu memenuhi hakikat kemanusian
bila terjadi sesuatu peristiwa yang agak berat.
Apabila ibu bapa mengasihi anak-anak,
anak-anak menghormati ibu bapa, pekerja menghormati majikan, majikan menyayangi
pekerja, guru-guru kasihkan pelajar, pelajar pula hormatkan guru, rakyat
taatkan pemerintah, pemerintah pula memahami rakyat, dunia pasti akan sentiasa
aman dan bahagia.
Dikala fitrah kemanusiaan telah
dipenuhi, manusia yang inginkan kasih sayang, saling pula mencurahkan kasih
sayang. Penzaliman dielakkan, peperangan dijauhkan, persengketaan diselesaikan
dengan aman. Setiap manusia saling bertolak ansur, hormat menghormati,
kekayaan diagihkan bersama, kesusahan dikongsi sama rata. Ah... alangkah
indahnya hidup begini.
|